Wednesday, December 5, 2012

UNDANG-UNDANG MALAYSIA


PENGENALAN
DEFINISI UNDANG-UNDANG
Secara amnya tiada satu definisi khusus yang diterima umum berkenaan dengan definisi undang-undang. Walau bagaimanapun, perkataan undang-ndang didefinisikan oleh Webster’s Dictionary sebagai semua peraturan yang berkaitan dengan tingkah laku yang dibentuk dengan autoriti atau adat sesuatu kaum. Menurut Yaqin (1996), kesemua pihak bersetuju jika dikatakan bahawa undang-undang adalah satu set peraturan yang mentadbir tingkah laku dalam masyarakat
Namun begitu, terdapat pelbagai definisi undang-undang oleh ahli falsafah terkenal. Contohnya, Austin mendefinisikan undang –undang sebagai “perintah yang dikeluarkan oleh satu badan yang berkuasa untuk orang-ornag biasa dan dikuatkuasakan melalui hukuman”. Salmond pula menyatakan “satu badan yang mengandungi prinsip-prinsip yang diperakui dan digunakan oleh sesebuah negara dalam pentadbiran keadilannya atau dengan kata lain undang-undang adalah peraturan yang diperakui dan dikuatkuasakan oleh mahkamah”. Manakala Hobbes pula berpendapat “undang-undang adalah kaedah perlakuan (roles of conduct) yang obligatori iaitu yang patut dipatuhi yang bersifat mendesak atau memaksa. Kamus Black menyebut “undang-undang adalah yang diperturunkan, diperintah atau dinyatakan. Satu peraturan atau metode yang mana fenomena atau perbuatannya saling bergandingan antara satu sama lain yang perlu dipatuhi atau diikuti oleh rakyat tertakluk kepada hukuman atau kesan-kesanya.
Berdasarkan kenyataan di atas, undang-undang bukan sesuatu yang mudah untuk ditakrifkan. Apa yang pasti setiap hari dalam kehidupan kita, kita pasti bertembung dengan undang-undang. Namun begitu undang-undang bukanlah hanya sesuatu senarai atau peraturan yang perlu dipatuhi. Ia juga dilihat sebagai alat pengawalan sosial dan boleh dimanipulasikan untuk kepentingan kumpulan tertentu.

 SEJARAH KEHAKIMAN NEGARA
Kehakiman Malaysia merupakan satu diantara badan kerajaan iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman yang wujud secara berasingan. Fungsi utama badan kehakiman adalah untuk memastikan perlembagaan persekutuan dipatuhi dan menegakkan keadilan mengikut peruntukan undang-undang. Selain daripada berperanan bagi membicarakan segala masalah perundangan yang timbul di antara individu dan individu juga individu dan negara. Mahkamah-mahkamah juga berperanan untuk mentafsir undang-undang. Tugas khas yang di pertanggungjawabkan ke atas kehakiman negara ini dijalankan demi menegakkan perlembagaan persekutuan.
Sistem Kehakiman Moden Malaysia bermula apabila Royal Charter Of Justice 1807 dikeluarkan, ia memberi kebenaran bagi perlaksanaan sebuah mahkamah di Pulau Pinang. Pada 1808 sebuah mahkamah ditubuhkan, Kota Cornwallis sebelum berpindah ke bangunan tetap Mahkamah Agong setahun kemudian. Pada 1825, Pulau Pinang, Singapura dan Melaka digabungkan menjadi Negeri-Negeri Selat dan dibawah pemerintahan British. Bidang kuasa Mahkamah Agong Pulau Pinang, diperluaskan ke Singapura dan Melaka. Setibanya 1850-an, Singapura berjaya mengantikan Pulau Pinang sebagai Pusat Perdagangan Utama di Negeri-Negeri Selat. Dengan itu, Ketua Hakim juga telah berpindah ke Singapura dari Pulau Pinang.
Campur tangan British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu juga Borneo pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 menyebabkan sistem kehakiman yang dijayakan di negeri-negeri tersebut. Sistem Kehakiman di rantau ini ketika itu, dijalankan dan dikuasai sepenuhnya oleh orang berketurunan Inggeris. Namun begitu, pada tahun 1939, Raja Musa Raja Bot menjadi Anak Watan Pertama yang diberi jawatan tinggi di dalam Sistem Kehakiman Negara. Walaupun ketika itu cuma dilantik sebagai penyandang sementara hakim di Mahkamah Agong Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Mahkamah-mahkamah di Malaya tetap menjalankan tugas ketika Malaya teruk diserang oleh tentera-tentera Jepun. Namun, mahkamah-mahkamah ini berhenti berfungsi apabila Jepun berjaya menguasai keseluruhan negara ini.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963, telah memansuhkan mahkamah-mahkamah Agong yang sedia ada ketika itu. Ia digantikan dengan sebuah Mahkamah Persekutuan yang mengabungkan mahkamah-mahkamah pelbagai negeri yang wujud di bawah satu bumbung. Badan Kehakiman Negara ketika itu diketuai oleh seorang Ketua Hakim Negara yang digelar Lord President (Y.A.A. Tun Sir James Beveridge Thomson 1963-1966). Menurut Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara hendaklah dilantik oleh Yg. Dipertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Pada 1994, gelaran penyandang jawatan ini, ditukarkan kepada Chief Justice. Terdapat 3 buah Mahkamah Persekutuan pada suatu ketika dahulu iaitu Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Singapura dan Mahkamah Tinggi Borneo. Namun pada tahun 1965, Singapura telah keluar dari Persekutuan Malaysia sekali gus mahkamah-mahkamahnya menamatkan talian sistem kehakiman serantau yang wujud sekian lama.
Pada suatu ketika dahulu, mahkamah tertinggi Malaysia adalah Majlis Privy, walaupun selepas kemerdekaan malaya dan seterusnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Persetujuan yang wujud di antara Ratu England (Ratu Elizabeth II) dan Yg. Dipertuan Agong (Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong I Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tunku Muhammad). Pasa masa itu juga, penguatkuasaan Artikal 131 Perlembagaan Persekutuan Malaysia membenarkan rayuan bagi keputusan Mahkamah Persekutuan dirujuk kepada Majlis Privy di London. Dengan memansuhkan perjanjian ini pada tahun 1985, berakhirlah sistem kehakiman yang bergantung terhadap Sistem Kehakiman Britain.


JENIS-JENIS UNDANG-UNDANG YANG DIPRAKTIKAN DI MALAYSIA
Undang-undang yang dipraktikkan di Malaysia terbahagi kepada dua jenis..antaranya adalah sumber bertulis dan sumber tidak bertulis.
SUMBER BERTULIS
Sumber bertulis merupakan sumber utama undang-undang Malaysia. Ia merujuk kepada undang-undang yang telah digubal oleh badan perundangan. Undang-undang ini dikenali sebagai undang-undang bertulis kerana ia bertulis, spesifik, dan distatutorikan melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Antara sumber bertulis yang terdapat di Malaysia adalah:

 v  Perlembangaan persekutuan
      i.        Perlembangan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi dan apa-apa undang-undang yang dibuat serta bertentangan adalah terbatal dan tidak sah sama sekali.

     ii.        Sekiranya terdapat percanggahan dalam peruntukan undang-undang lain dengan peruntukkan yang terdapat dalam Perlembangan Persekutuan, peruntukan yang terdapat dalam Perlembangan Persekutuan, peruntukan undang-undang lain dianggap batal dan tidak boleh dikuatkuasakan.

 v  Perlembagaan Negeri
       Setiap negeri di Malaysia mempunyai Perlembangaan Negeri masing-masing yang ditadbirkan oleh Dewan Undangan Negeri. Terdapat 13 Perlembangaan Negeri yang diperuntukkan menurut apa yang dinyatakan dalam Jadual Kelapan Perlembangaan Persekutuan.
Antara peruntukan tetap yang mesti dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri ialah peruntukan berkenaan:
      i.              Kewangan:
                      Raja hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam menjalankan tugasnya.
    iii.        Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada beberapa perkara seperti melantik Menteri Besar.

 v  Undang-undang Persekutuan
Undang-undang Persekutuan adalah undang-undang yang dibuat dan diluluskan di Parlimen. Undang-undang yang telah digubal selepas Merdeka dipanggil Akta dan sebelum Merdeka dikenali sebagai Ordinan. Undang-undang persekutuan diterapkan di seluruh Malaysia.

 v  Undang-undang Negeri
Undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Undang-undang yang telah digubal dipanggil Enakmen.

 v  Undang-undang Subsidiari
Undang-undang ini dibuat dan diluluskan oleh pihak-pihak dan badan-badan tertentu seperti Menteri-Menteri dan pihak berkuasa tempatan dibawah kuasa yang diberikan padanya oleh Akta Parlimen dan Enakmen. Undang-undang ini wujud di peringkat persekutuan dan negeri. Adakalanya dikenali sebagai Perundangan Kecil atau Perundangan Perwakilan.

SUMBER TIDAK BERTULIS
Sumber tidak bertulis terbahagi kepada tiga, antaranya adalah:

 v  Prinsip Undang-undang Inggeri
      Penerimaan undang-undang Inggeris di Malaysia berkuatkuasa dengan adanya Seksyen 3 dan Seksyen 5 Akta Undang-undang Sivil 1956. Prinsip undang-undang inggeris merujuk kepada ‘common law’ dan ekuiti seperti yang ditadbir di England pada:
                                   i.             7 April 1956 bagi Malaysia Barat
                                   ii.           1 Disember 1951 bagi Sabah
                                 iii.    12 Disember 1949 bagi Sarawak
Pemakaian undang-undang Inggeris di Malaysia adalah tertakluk kepada 2 perkara iaitu ketiadaan status tempatan dan bersesuaian untuk kegunaan tempatan.

 v  Keputusan Mahkamah
Keputusan mahkamah yang diterima sebagai undang-undang di Malaysia mestilah keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Keputusan-keputusan mahkamah ini biasanya akan dibukukan dalam bentuk Jurnal dan menjadi sumber rujukan kepada hakim, pengamal undang-undang dan orang awam.
Para hakim dalam menentukan suatu keputusan akan merujuk kepada prinsip undang-undang terdahulu. Prinsip ini dikenali sebagai Doktrin Duluan Mengikat atau Doktrin Stare Decisis atau Doktrin Kehakiman Mengikat. Sekiranya tidak terdapat peruntukkan undang-undang bertulis mengenai sesuatu perkara, mahkamah hendaklah memakai keputusan mahkamah yang lebih tinggi kedudukannya.

 v  Undang-undang Adat
Adat resam penduduk tempatan yang telah diterima sebagai undang-undang oleh statut dan keputusan kehakiman.

KEPENTINGAN UNDANG-UNDANG DILAKSANAKAN
Undang-undang adalah satu cara mengawal masyarakat iaitu ia digunakan sebagai alat untuk mengawal tindakan ahli-ahlinya. Kawalan yang dijalankan dilaksanakan dengan cara-cara yang jelas. Undang-undang jenayah bertindak sebagai mengawal tindakan anti sosial. Jika berlaku sesuatu perkara yang melanggar undang-undang jenayah, orang itu akan dihukum.
Apabila kita menyebut undang-undang, melanggarinya akan menjadi satu kesalahan besar yang bersamanya hukuman dijatuhkan kepada si pesalah. Perlakuan masyarakat dalam sesebuah negara itu dikawal undang-undang negara yang ditegakkan mengikut undang-undang perlembagaan negara. Undang-undang inilah yang mengawal setiap perlakuan masyarakat, institusi dan sebagainya agar keamanan, hak dan tanggungjawab dapat ditegakkan.
Dalam konteks antarabangsa, perhubungan di antara negara dikawal oleh satu undang-undang antarabangsa. Undang-undang itu memiliki matlamat sama dengan undang-undang dalam sesebuah negara itu untuk menjamin agar keadilan dapat ditegakkan. Inilah hakikat yang diterima pakai dalam kehidupan manusia bertamadun. Dalam konteks diri manusia, ada peraturan dalaman yang dinamakan etika yang sifatnya mengawal pemikiran dan tingkah laku manusia.

SISTEM HIERARKI MAHKAMAH DI MALAYSIA MAHKAMAH TERTINGGI

 v  MAHKAMAH PERSEKUTUAN
Mengikut Perkara 121(2) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa :–
  • Untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya;
  •   Asal atau runding sebagaimana yang ditentukan mengikut Perkara 128 dan 130 ; dan
  •  Lain-lain seperti yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

Rayuan Jenayah Mahkamah Persekutuan boleh, menurut seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mendengar dan menentukan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes-kes jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam bidangkuasa asalnya.

Rayuan Sivil
Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntukkan bahawa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan boleh dibuat ke Mahkamah Persekutuan dengan kebenaran Mahkamah Persekutuan. Kebenaran itu boleh diberi jika :–
      Keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai apa-apa kuasa atau perkara sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam menjalankan bidangkuasa asalnya dan ianya melibatkan persoalan prinsip umum yang diputuskan bagi kali pertama atau sesuatu persoalan penting yang memerlukan penghujahan lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan di atasnya akan memberi manafaat awam
    Keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan termasuklah kesahihan mana-mana undang-undang bertulis berhubung peruntukan Perlembagaan itu. (sesyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964).
Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk memutuskan :
            Apa-apa persoalan samada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Negeri itu adalah tidak sah atas alasan bahawa badan itu membuat peruntukan berhubung sesuatu perkara yang mana Parlimen ataupun Dewan Negeri mengikut mana-mana yang berkenaan tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang.
               Pertikaian atas apa-apa persoalan lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri. (Perkara 128(1) Perlembagaan Persekutuan). Rujukan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan – “Tanpa menjejaskan apa-apa bidangkuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidangkuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah Pegawai dan kakitangan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan mahkamah yang mengawalselia penjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu”.

 v  MAHKAMAH RAYUAN
Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan pada tahun 1994. Penubuhannya bertujuan untuk mewujudkan saluran tambahan bagi mendengar kes-kes rayuan daripada Mahkamah Tinggi dan juga bertujuan untuk mengurangkan beban Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes-kes rayuan yang dibawa di hadapannya.
Mengikut Perkara Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa:–
  •  Bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya (kecuali keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh pendaftar atau pegawai lain Mahkamah itu dan yang boleh dirayukan kepada seorang hakim Mahkamah itu di bawah undang-undang persekutuan)
  •  Apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang  persekutuan. (Perkara 121(1B) Perlembagaan Persekutuan)
           Dalam kes Dalip Bhagwan Singh (supra), mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan di Malaysia secara umumnya terikat dengan semua keputusannya sendiri melainkan jika terdapat pengecualian tertentu seperti yang diperuntukan dalam kes Young v Bristol Aeroplane (1994) yang membenarkan Mahkamah Rayuan di Malaysia untuk menyimpang daripada keputusan sendiri yang terdahulu. 
   Mulai daripada 1 Oktober 2006 bilangan Hakim Mahkamah Rayuan telah bertambah kepada 22 orang melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong (Perkara 122A(1) Perlembagaan Persekutuan) Pindaan P.U.(A) 385/2006.

 v  MAHKAMAH TINGGI
Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa :–
          Penyeliaan dan pengubahan keputusan semua Mahkamah Bawahan, serta juga bidang kuasa untuk membicarakan semua rayuan daripada Mahkamah Bawahan, baik kes sivil mahupun kes jenayah.
Mahkamah Tinggi juga mempunyai bidang kuasa sivil yang tidak terhad, dan umumnya membicarakan kes-kes yang tuntutannya melebihi RM1000, selain daripada kes-kes yang melibatkan kemalangan kenderaan bermotor, penderitaan, dan pertikaian antara tuan rumah dan penyewa. Mahkamah ini juga membicarakan kes-kes yang berkait dengan:
  •          Kesahan atau pembubaran perkahwinan (perceraian) dan perkara-perkara suami isteri;
  •          Kemuflisan dan perkara-perkara berkait dengan penggulungan syarikat;
  •          Penjagaan kanak-kanak;
  •     Pemberian kenyataan sah wasiat, wasiat, dan surat kuasa mentadbir estet;
  •     Injunksi, pelaksanaan tertentu (specific performance), atau pembatalan kontrak;
  •     Kesalahan individu.
       Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad terhadap semua kes jenayah selain daripada perkara-perkara yang melibatkan undang-undang Islam.
Kes-kes dibicarakan oleh seorang hakim yang tunggal di dalam Mahkamah Tinggi, atau oleh seorang pesuruhjaya kehakiman. Sedangkan hakim-hakim Mahkamah Tinggi diberikan perlindungan jawatan, para pesuruhjaya kehakiman dilantik untuk penggal dua tahun dan tidak menerima perlindungan yang sama di bawah Perlembagaan.

MAHKAMAH BAWAHAN / RENDAH
Di Malaysia terdapat beberapa mahkamah bawahan iaitu :

 v  MAHKAMAH SESYEN
Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa :–
  •  Membicarakan kes-kes kemalangan kenderaan bermotor, tuan rumah dan penyewa (landlord and tenant), distress; dan
  •  Bidangkuasa sivil bagi amaun yang tidak melebihi RM250,000-00.
  •  Bidangkuasa jenayah bagi membicarakan serta memutuskan kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati[2].
  • Meminta rekod apa-apa prosiding yang dijalankan di hadapan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu.
 v  MAHKAMAH MAJISTRET
Akta Mahkamah Rendah 1948[4] juga menggariskan bidangkuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Majistret dalam menjalankan kuasanya. Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa :–
Bidangkuasa Majistret Kelas Pertama
Antara tindakan guaman yang boleh dibicarakan serta diputuskan oleh Majistret Kelas Pertama adalah:
  • Segala tindakan guaman sivil yang amaun dalam pertikaiannya adalah tidak melebihi RM25,000-00.
  •  Membicarakan serta memutuskan hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang penghukumannya adalah tidak melebihi lima tahun penjara atau denda sebanyak RM10,000-00 atau sebat sehingga 12 kali[5] atau gabungan mana-mana hukuman yang disebutkan tersebut atau kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sahaja[6] atau kesalahan-kesalahan di bawah seksyen-seksyen 392 dan 457 Kanun Keseksaan[7]. 

 Bidangkuasa Majistret Kelas Kedua
Ianya termaktub dalam Akta[8] yang sama antaranya :
  • Guaman asal tuntutan sivil yang tidak melebihi RM3,000-00 samada beserta faedah atau sebaliknya[9], 
  • Kesalahan-kesalahan jenayah yang melibatkan penghukuman yang tempoh penjara maksimumnya tidak melebihi 12 bulan penjara atau denda sahaja[10].
  • Tempoh penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000-00 atau gabungan kedua-dua hukuman tersebut[11].
 v  MAHKAMAH PENGHULU (bagi Malaysia Barat sahaja)
Mahkamah Penghulu mempunyai bidang kuasa :–
Seksyen 94 memperuntukkan bahawa bagi tindakan guaman sivil tuntutan yang dibenarkan adalah tidak melebihi RM50-00 serta kesemua pihak yang terbabit adalah dari bangsa Asia yang bertutur serta memahami Bahasa Melayu. Mahkamah ini juga boleh menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM25-00. Manakala bagi bidangkuasa jenayah pula, ia hanya boleh mendengar serta membicarakan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan kecil sahaja yang mana awardnya adalah termaktub dalam seksyen 96.

MAHKAMAH KHAS DI MALAYSIA

 v  MAHKAMAH KHAS RAJA-RAJA
Mahkamah khas Raja-raja mempunyai bidang kuasa :–
Membicarakan segala kesalahan YDA atau Raja sesebuah negeri atau kes sivil oleh atau terhadap YDA atau Raja negeri. Keputusan mahkamah ini muktamad dan tidak boleh dicabar dalam mana–mana mahkamah. Sebarang dakwaan ke atas atau oleh YDA atau raja mesti mendapat kebenaran peguam negara.
YDA atau Raja perlu berhenti menjalankan tugas semasa perbicaraan kes jenayah sedang berlangsung.

 v  MAHKAMAH SYARIAH
Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa :–
Membicarakan kes sivil dan jenayah bagi orang-orang Islam. Antara kes berbicaraan adalah kes berkaitan pertunangan, matrimony (perkahwinan, perceraian, nafkah ) hak penjagaan anak, wakaf dan waris harta pusaka.

 v  MAHKAMAH JUVANA
Mahkamah juvana mempunyai bidang kuasa :–
Membicarakan pesalah remaja yang berumur diantara 10 hingga 18 tahun dan juga melibatkan hukuman yang  ringan sahaja dan tiada hukuman mati.

 v  MAHKAMAH TENTERA
Mahkamah tentera terbahagi kepada 2 mahkamah, antaranya adalah mahkamah tinggi tentera dan mahkamah rendah tentera. Mahkamah tinggi tentera membicarakan kes berkaitan pegawai berpangkat staf sarjan dan keatas. Hakim bagi mahkamah ini adalah Leftenan Kolonel dan 2 pegawai tinggi.
Mahkamah rendah tentera pula membicarakan kes berkaitan dengan askar dibawah pangkat sarjan. Hakim bagi mahkamah ini adalah mejar dan dua orang lain antaranya kapten atau ketua hakim.
Mahkamah tentera mempunyai bidang kuasa :–
Bidang kuasanya dalah terhadap askar, askar simpanan atau orang awam yg bekerja dengan pihak tentera. Antara kesnya adalah kes pecah amanah dan disiplin dalam angkatan tentera. Hukuman yg dijatuhkan oleh Mahkamah tentera tertakluk kepada pengesahan seorang pegawai atasan tentera. Jika melibatkan hukuman mati, pengesahan hendaklah diperoleh daripada YDA. Hukuman boleh dirayu di mahkamah tinggi dan boleh mendapat pengampunan daripada YDA dan lembaga pengampunan.

 v  MAHKAMAH BUMIPUTERA
Mahkamah bumiputera mempunyai bidang kuasa :–
Mahkamah ini hanya untuk bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja dan antara bidang kuasanyan adalah kes kesalahan melanggar adat perkahwinan, seks, harta pusaka ataupun tanah.

vMAHKAMAH PERUSAHAAN
Mahkamah perusahaan mempunyai bidang kuasa :–
Membicarakan kes berkaitan pembuangan pekerja, kes pertikaian perusahaan tentang syarat perkhidmatan, kes pertikaian interpretasi, variasi dan ketidakpatuhan keputusan atau perjanjian, memerintahkan mana-mana pihak majikan atau pekerja digabungkan atau digantikan atau dibatalkan. Ia juga mengeluarkan saman terhadap mana-mana pihak atau orang perseorangan untuk mengahadirkan diri ke mahkamah perusahaan.

RUJUKAN

Friday, August 10, 2012

KHASIAT BUAH KURMA



Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :
"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".
Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 : Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak. (Surah Maryam : 25)
Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.
Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.
Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air. (Hadis riwayat Ahmad)
Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.
Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma : Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.
Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.
Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.
Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

DOSA MUNGUMPAT HANYA BOLEH DIAMPUN OLEH MANGSA



Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.
Rasullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah S.A.W. "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukan". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti. Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.
Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

12 WAJAH DI PADANG MAHSYAR



Pada hari kiamat, umat islam akan dikumpulkan. Berbaris-baris menjadi 12 barisan dengan membawa amalan mereka sendiri

Hadis riwayat daripada Aisyah r.a mejelaskan: “aku pernah mendengar Rasullah SAW bersabda:
umat manusia ini pada hari kiamat dikumpulkan pada suatu padang gondola (tidak berpohon, tidak berumput dan tidak berair), padang pasir putih seperti roti. Disini mereka dikumpulkan dengan keadaan bertelanjang bulat. Masing-masing saling melihat aurat mereka. Dalam riwayat lain,dikatakan masing- masing mereka itu saling melihat”. ”(Riwayat Bukhari)

Akhirat adalah hari pembalasan.
Allah SWT akan memperlihatkan keadilan-Nya dan keagungan-Nya. Hari akhirat juga, hari yang akan menentukan dan menjatuhkan segala hukuman Allah ke atas hamba-Nya.

            Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a menghadap Rasullah SAW dan bertanya:
“Ya Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: “pada saat sangkakala ditiupkan, maka kamu sekalian datang berbaris-baris”.” (AN-Naba’: 18)

Mendengar pertanyaan itu, Nabi SAW menangis sehingga basah pakaiannya. Lalu baginda menjawab: “wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing- masing membawa amalan mereka sendiri.”

Keadaan di Padang Mahsyar
Maka dinyatakan oleh rasulullah 12 barisan berkenaan iaitu:

1)    Diiringi dari kubur dengan TIDAK BERTANGAN DAN BERKAKI. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah SWT: “Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jiran, maka ini balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

2)    Diiringi dari kubur dalam keadaan BERBENTUK BABI HUTAN. Datanglah suara dari sisi Allah yang beriman: “Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya, dan tempat kembalinya adalah neraka..”

3)    Mereka datang dalam BENTUK KELDAI, sendangkan perut mereka penuh dengan ular dan  kala jengking. Allah SWT menjelaskan: “mereka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

4)    Diiringi dari kubur dengan keadaan DARAH SEPERTI PANCUTAN KELUAR DARIPADA MULUT mereka. Allah SWT menegaskan: “mereka ini adalah orang yang berdusta di dalam jual beli, maka inilah balasannya, dan tempat mereka adalah neraka…”

5)    Diiringi dari kubur dengan BAU BUSUK DARIPADA BANGKAI. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. Allah SWT menegaskan: “mereka ini adalah orang yang menyembungikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia, tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya. Dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

6)    Diiringi dari kubur dengan keadaan KEPALA MEREKA TERPUTUS DARIPADA BADAN. Allah SWT berfirman: “mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

7)    Diiringi dari kubur TANPA MEMPUNYAI LIDAH DAN DARI MULUT MEREKA MENGALIR KELUAR NANAH DAN DARAH. Allah SWT menegaskan: “mereka itu adalah orang yang enggan member kesaksiandiatas kebenaran , maka inilah balasannya , dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

8)    Diiringi dari kubur dalam keadaan TERBALIK DENGAN KEPALA KE BAWAH DAN KAKI KE ATAS. Allah SWT berfirman: “mereka adalah orang yang berzina , maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

9)    Diiringi dari kubur dengan BERWAJAH HITAM GELAP DAN BERMATA BIRU, sementara dalam diri mereka penuh dengan api yang bernyala. Allah SWT menyatakan: “mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

10) Diiringi dari kubur dalam keadaan TUBUH MEREKA PENUH DENGAN SOPAK DAN KUSTA. Allah SWT berfirman: “mereka adalah orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

11)  Diiringi dari kubur dengan berkeadaan BUTA, GIGI MEMANJANG SEPERTI TANDUK LEMBU JANTAN, BIBIR MELEBAR SAMPAI KE DADA DAN LIDAH TERJULUR MEMANJANG SAMPAI KE PERUT, DAN KELUAR BERBAGAI-BAGAI KOTORAN. Allah SWT menegaskan: “mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balsannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

12)  Diiringi dari kubur dengan WAJAH YANG BERSINAR-SINAR LAKSANA BULAN PURNAMA. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih menegaskan: “Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak melakukan kebaikan, Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat 5 waktu, ketika meninggal dunia mereka sempat bertaubat maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih saying, dan keredhaan Allah yan Maha Pengasih…”