Kurma
adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai
Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang
mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai
berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah
yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di
negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang
kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang
manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat
yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam.
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.
Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :
"Diceritakan
oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita
daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7
biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada
hari itu".
Khasiat
kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas
merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan
kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Terdapat
juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini,
yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi
Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 : Tafsirnya :
"Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma
yang masak. (Surah Maryam : 25)
Ayat
di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang
dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau
dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat
buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa
perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai
dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman,
tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih
baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang
boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.
Unsur
zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling
tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan
susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu.
Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah
dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma
antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma
tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain
dan otak.
Berdasarkan
ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita
supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas
bermaksud : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan
beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma,
maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan
beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa
terguk air. (Hadis riwayat Ahmad)
Sehubungan
dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka
puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik,
beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan
kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka
dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.
Antara
hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma : Maksudnya : Daripada Adiy bin
Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah)
sebelah buah kurma.
Hadis
ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita
bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.
Jadi
bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga
dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan
harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian.
Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.
Mudah-mudahan
dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai
kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah
Subhanahu Wata’ala.
0 comments:
Post a Comment